Antara rumah di sekitar Kg Tengah yang terbakar teruk susulan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height di Puchong Heights, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 1 APRIL 2025

KUALA LUMPUR- Kebarangkalian untuk berlaku letupan susulan akibat kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights Subang Jaya, Selangor adalah sangat rendah.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata ia disebabkan tiada aliran gas dikenal pasti petang ini selepas penutupan empat injap utama di Kampung Lombong Puchong, Batu Tiga, Shah Alam dan Klang pagi tadi.

Beliau berkata perkembangan itu memudahkan pasukan penyiasat bomba untuk masuk bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Penduduk boleh masuk ke kediaman mereka dengan pemantauan pihak berkuasa untuk mengambil barang atau haiwan peliharaan, ketika ini tiada bekalan elektrik di sekitar di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Selain itu, Nor Hisham berkata secara keseluruhan 237 rumah terjejas setakat ini dan jumlah mangsa yang terlibat adalah seramai 305 orang dengan kebanyakannya cedera akibat melecur serta tersedut haba panas.

“Sebanyak 88 unit bangunan melibatkan 78 unit rumah serta 10 unit rumah kedai terbakar antara 10 hingga 90 peratus dan punca insiden terbabit masih dalam siasatan,” katanya.

Selain itu, Nor Hisham berkata sebanyak 275 kereta dan 56 motosikal terbakar.

Katanya seramai 35 anggota Pasukan Gerakan Am ditugaskan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan dan memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini.

Nor Hisham berkata kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada 3.45 petang dan seramai 325 anggota serta pegawai daripada 11 agensi terbabit dalam operasi pemadaman dan menyelamat.

“Kerja pembersihan dan pemeriksaan akan dijalankan dalam tempoh 24 jam ini,” katanya.

Terdahulu, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan kebakaran berlaku di saluran paip utama Petronas Gas Bhd (PGB) pada 8.10 pagi tadi.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here