PUCHONG – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjangkakan laporan awal tragedi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Heights di sini pagi tadi, siap dalam tempoh 72 jam.
Katanya, ketika ini siasatan bagi mengenal pasti punca insiden tersebut sudah dilakukan.
Tambah beliau, laporan awal itu penting bagi mendapatkan petunjuk serta mematikan pelbagai spekulasi serta dakwaan segelintir pihak berhubung punca sebenar yang menyebabkan tragedi tersebut berlaku.
“Saya harap kita akan dapat laporan awal dalam tempoh 72 jam, sebagai contoh adanya mesin pengorek yang mencetuskan dakwaan tersebut. Kalau dia mengorek dan berlaku letusan, mesin itu kena cari.
“Banyak teori di internet dari kalangan penduduk, netizen dan sebagainya. Tidak adil sehingga kita dapat petunjuk. Kalau ada apa-apa maklumat, tolong sampaikan kepada pihak berkuasa untuk kita lakukan siasatan menyeluruh terhadap isu ini
“Saya ada bincang dengan Ketua Polis Selangor, mereka hendak tengok keseluruhan tempat tersebut. Kita akan siasat betul-betul,” katanya selepas mengadakan lawatan di pusat penempatan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights di sini.
Kata Amirudin lagi, keutamaan beliau ketika ini adalah nyawa dan keselamatan penduduk yang terjejas akibat kebakaran ini.
“Setakat ini, yang paling penting ialah semua nyawa terselamat daripada tragedi ini, ini paling penting,” tegasnya.
Kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Puchong dipadamkan sepenuhnya jam 3.45 petang ini dengan seramai 305 mangsa insiden kebakaran itu berjaya diselamatkan. -MalaysiaGazette