PERKONGSIAN Pakar Geologis UKM, Dr. Nor Shahidah Mohd Nazer berkenaan isu gempa bumi. - Foto: IHSAN FB UKM Pakarunding

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak terkecuali daripada ancaman gempa bumi meskipun negara ini terletak di luar Lingkaran Api Pasifik.

Pakar geologi, Dr. Nor Shahidah Mohd Nazer berkata, negeri Sabah khususnya, diakui sebagai kawasan yang berisiko tinggi berlaku gempa bumi akibat kehadiran beberapa garis sesar aktif.

Ujar beliau, kawasan seperti Ranau dan Kundasang sering menjadi lokasi gempa bumi dan beberapa kejadian yang pernah dilaporkan berlaku di negeri itu sebelum ini mencetuskan kebimbangan mengenai potensi ancaman gempa bumi yang lebih besar di negeri tersebut.

Beliau yang merupakan pensyarah Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menambah, risiko itu akan lebih tinggi sekiranya kedalaman pusat gempa (epicentre) adalah cetek sebagaimana yang berlaku di Myanmar.

“Kesan gegaran akibat gempa bumi pada kedalaman yang cetek serta pada kekuatan yang besar seperti di Myanmar pasti akan dirasai di Malaysia kerana perambatan gelombang permukaan yang lebih ekstensif,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Nor Shahidah berkata, gempa bumi berlaku akibat pergerakan plat tektonik yang menghasilkan tekanan tinggi yang mampu menyebabkan gegaran kuat.

Selain itu, menurut beliau, gempa bumi di dasar laut pula berpotensi mencetuskan tsunami, seperti yang berlaku pada tragedi tsunami 2004.

“Disebabkan itu, risiko tsunami di Malaysia, khususnya di negeri-negeri pantai barat Semenanjung seperti Kedah dan Pulau Pinang, masih perlu diberi perhatian serius,” katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, sejak bencana tsunami 2004, Malaysia telah memperkukuh sistem amaran awal tsunami dengan memasang peralatan pengesan di kawasan berisiko tinggi.

Namun, katanya, keberkesanan sistem itu amat bergantung pada kesedaran dan tindak balas daripada masyarakat.

“Oleh itu, pendidikan awam, pembinaan bangunan tahan gempa dan latihan kecemasan adalah langkah penting yang perlu dilaksanakan untuk memastikan kesiapsiagaan rakyat,” katanya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, ujar beliau, Malaysia perlu mengambil pendekatan yang lebih proaktif, terutamanya di kawasan berisiko seperti Sabah dan pantai barat Semenanjung.

Jelasnya, keberkesanan strategi itu akan membantu mengurangkan impak gempa bumi dan tsunami, sekaligus melindungi kesejahteraan rakyat pada masa hadapan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast