JOHOR BAHRU – Mangsa banjir di sini memerlukan lebih enam bulan untuk mereka membina semula kehidupan yang musnah selepas dilanda banjir.
Seorang penduduk, Safiah Abdul Kahar, 63, dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara di sini berkata, ini kerana harta benda tidak dapat diselamatkan semuanya musnah dalam kejadian bah.
“Semua barangan di rumah termasuk kelengkapan dibeli arwah suami sudah rosak dan musnah. Memang saya sedih kerana barangan itu kenangan bersama-sama suami, saya gagal menyelamatkannya kerana air naik mendadak.
“Saya tidak mungkin membeli kelengkapan sama kerana ia di luar kemampuan bahkan soal makanan, saya terpaksa berjimat,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam menyampaikan sumbangan kepada Safiah di rumahnya bagi membantu warga emas berkenaan.
Safiah merupakan antara 40 asnaf terpilih untuk menerima baucar beli-belah bernilai RM150 daripada Pasaraya Econsave.
Bercerita lanjut, Safiah berkata, tiada persiapan dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri kali ini kerana dia bersama-sama jiran sibuk membersihkan rumah masing-masing.
Safiah berkata, dia tidak mampu mengimbas kembali kenangan pahit PPR itu dilanda banjir.
Malah, menurutnya, dalam tempoh 16 tahun tinggal di PPR berkenaan, ini adalah julung kali penduduk dilanda bencana alam itu.
Safiah mendakwa dia mengalami kesan teruk kerana tinggal di tingkat bawah namun bersyukur kerana menerima sumbangan yang mampu meringankan beban penduduk B40 sepertinya.
“Suami saya meninggal dunia enam tahun lalu dan dia merupakan bekas kakitangan kerajaan serta saya bergantung sepenuhnya kepada wang pencennya untuk meneruskan hidup,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penerima baucar, Tumi Jurimi, 63, berkata, dia terputus bekalan makanan beberapa hari akibat kediamannya dilanda banjir.
Dia bagaimanapun bersyukur apabila dibantu jiran yang prihatin.
“Saya berstatus ibu tunggal sejak lima tahun lalu, memang sudah sebati hidup susah. Bagi saya, pemberian baucar ini amat bermakna,” katanya.
Sementara itu, Mas Imran berharap, sumbangan itu sedikit sebanyak meringankan beban golongan asnaf.
“Sesetengah mereka nasibnya umpama jatuh ditimpa tangga kerana bukan saja menanggung pelbagai ujian atas faktor kesihatan dan kewangan, kediaman mereka pula dilanda banjir.
“Semoga Allah memberi kekuatan kepada golongan berkenaan supaya bersemangat untuk membaiki kehidupan,” katanya.- MalaysiaGazette