Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri. Foto SYADILA AMARI, 15 MAC 2024.

KUALA LUMPUR- Golongan yang kehilangan harta akibat bencana seperti kebakaran boleh dikategorikan sebagai asnaf al-gharimin (orang yang berhutang) dan layak menerima zakat.

Sehubungan itu,Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri berpandangan, mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang layak menerima zakat sekiranya mereka memerlukan wang untuk pemulihan kehidupan dan pembayaran liabiliti yang timbul akibat kejadian itu.

Katanya, perkara itu dinyatakan dalam hadis Rasulullah yang diriwayatkan Imam Muslim daripada Qabisah bin Mukhariq al-Hilali, Rasulullah SAW mengizinkan individu yang ditimpa musibah untuk meminta bantuan sehingga mereka dapat kembali kepada kehidupan yang stabil.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meluangkan masa menziarahi mangsa-mangsa kebakaran saluran paip gas Petronas yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masjid Putra Heights. Selangor. Foto HARI ANGGARA, 01 APRIL 2025.

Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berpandangan, bantuan zakat hendaklah didahulukan kepada mereka yang benar-benar memerlukan seperti mangsa yang kehilangan tempat tinggal, punca pendapatan atau terpaksa menanggung hutang akibat kebakaran.

Katanya, pemberian zakat dalam bentuk wang tunai lebih utama bagi membantu mangsa menanggung kos pemulihan, baik pulik rumah dan keperluan asas pasca bencana.

“Adapun bantuan dalam bentuk barangan atau makanan hendaklah diniatkan sebagai sedekah umum atau infaq fi sabilillah, kecuali jika benar-benar diperlukan oleh asnaf yang layak berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh institusi zakat.

Sebahagian mangsa tragedi kebakaran paip gas dipindahkan ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights. Selangor. Foto HARI ANGGARA, 01 APRIL 2025

“Agihan zakat boleh dilakukan melalui pusat zakat negeri, NGO Islam yang dipercayai dan telus, atau secara terus kepada mangsa yang layak.

“Jika melalui NGO atau badan kebajikan, pastikan dana zakat digunakan sepenuhnya untuk pemulihan mangsa dan tidak bercampur dengan dana lain.

Antara rumah dan kenderaan sekitar Kampung Tengah yang terbakar teruk ekoran bahang kebakaran besar saluran paip gas di Putra Heights, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 1 APRIL 2025

“Sekiranya terdapat mangsa yang terkandas di luar kawasan kediaman mereka akibat kebakaran, mereka boleh dikategorikan sebagai asnaf ibn sabil dan layak menerima zakat bagi membantu mereka kembali ke tempat asal,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam ini.

Menurut beliau, mangsa yang masih memiliki aset seperti rumah dan tanah, tetapi kekurangan dana cair boleh menerima zakat mengikut kadar yang ditentukan oleh institusi zakat.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan umat Islam untuk terus menzahirkan solidariti melalui sedekah bagi membantu mangsa-mangsa yang terkesan dalam kalangan Muslim dan bukan Muslim. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Kami redah api demi nyawa, penduduk kongsi detik cemas kebakaran paip gas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here