KUALA LUMPUR – Operasi hari pertama Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di lokasi bencana gempa bumi di Myanmar semalam, berjaya mengeluarkan dua mayat mangsa yang tertimbus bangunan runtuh.
Kedua-dua mangsa yang berjaya dikeluarkan itu merupakan seorang guru wanita yang dikeluarkan pukul 12.45 tengah hari, serta seorang warga emas berusia 57 tahun yang dikeluarkan pukul 4.50 petang.
SMART menerusi hantaran di laman sosial Facebook rasmi memaklumkan, Operasi My Team Relief hari pertama oleh pasukan MAS-01 itu bermula pukul 9 pagi di sebuah sekolah persendirian.
Katanya, kamera IRIS yang digunakan mengenal pasti kedudukan mangsa pada pukul 9.45 pagi sebelum kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilaksanakan dengan teliti bersama penyelamat dari Myanmar Fire Service Department.

“Pada jam 1245, mayat seorang guru wanita berjaya dikeluarkan,” demikian menurut catatan itu malam tadi.
Sementara itu, tambahnya, operasi kedua melibatkan sebuah masjid yang mana pencarian menyeluruh yang dilaksanakan mendapati tiada mangsa yang terperangkap.
“Pasukan di lokasi ketiga iaitu sebuah rumah kedai berjaya mengeluarkan mayat seorang lelaki berumur 57 tahun yang terperangkap di lantai kedai pada jam 1650.
“Mayat-mayat mangsa diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya, operasi hari pertama semalam berakhir pukul 6 petang dan disambung semula pukul 8.30 pagi ini.
SMART sebelum ini memaklumkan, usaha mengesan mangsa yang terperangkap dalam misi tersebut ditumpukan di fasiliti kritikal seperti masjid, tokong, kuil, sekolah dan hospital di wilayah Sagaing, Myanmar.- MalaysiaGazette