Rusman Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki Indonesia terpaksa berenang menyeberangi Sungai Klang sejauh 150 meter untuk menyelamatkan diri daripada kejadian letupan saluran paip gas di Putra Heights di sini.

Rusman Abdul Samad, 30, berkata, seorang rakannya bagaimanapun lemas kerana kehabisan tenaga sebelum diselamatkan dan dibawa ke seberang sungai.

Menceritakan kejadian itu, buruh kontrak tersebut berkata, dia dan rakan-rakannya berada dalam rumah sewa di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong sebelum terdengar bunyi letupan kuat pagi tadi.

“Waktu itu, saya hendak masak sebelum terdengar bunyi letupan kuat. Pada mulanya, saya ingat itu bunyi pesawat lalu, namun saya nampak api besar di luar rumah,” ujarnya ketika ditemui wakil media di pekarangan Hospital Sultan Idris Shah, Serdang di sini.

Menurut Rusman, dia dan beberapa rakannya terpaksa menyeberangi sungai untuk menyelamatkan diri kerana jarak kebakaran berdekatan dengan rumah sewa mereka iaitu kira-kira 300 meter.

Ujar lelaki itu, meskipun mereka serumah selamat, namun rumah terbakar keseluruhannya dan tiada barang peribadi yang dapat diselamatkan termasuk pasport.

Awal hari ini, media melaporkan, kebocoran saluran paip gas Petronas yang mengakibatkan kebakaran besar di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor berkata, kebakaran berlaku di kawasan perumahan awan dan anggota bomba bersama agensi lain membuat pemindahan penduduk sekitar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here