KUALA LUMPUR – Kebocoran saluran paip gas Petronas yang mengakibatkan kebakaran besar di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya sejak pagi tadi dianggar 500 meter dan setakat ini api sedang marak dan menjulang.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor berkata, kebakaran berlaku di kawasan perumahan awan dan anggota bomba bersama agensi lain membuat pemindahan penduduk sekitar.
Ketika ini seramai 78 orang anggota bomba dari 11 balai bomba berada di kawasan kejadian dan kerja-kerja pemadaman api sedang dilaksanakan.
Menurut bomba, terdapat mangsa yang terlibat yang jumlahnya belum dapat dipastikan lagi.
Bagaimanapun, tujuh orang mangsa termasuk dua warga emas sudah dikeluarkan dari lokasi kejadian.
“Jumlah mangsa dan kemerebakan api di sekitar kawasan rumah masih belum diketahui,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, bomba berkata, pihak Petronas telah menutup valve saluran paip yang terbakar namun belum diketahui berapa jarak valve yang ditutup itu. – MalaysiaGazette