JOHOR BAHRU – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan melanggar batu pembahagi jalan di Kilometer
9.6 Lebuhraya Iskandar Sultan, arah Iskandar Puteri, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 12.01 tengah malam melibatkan motosikal jenis Honda Dash 125 ditunggang mangsa.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa yang berusia 19 tahun menunggang di lorong kanan menghala ke Iskandar Puteri telah hilang kawalan.
“Keadaan tersebut menyebabkan mangsa terbabas dan melanggar batu pembahagi jalan di jalan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, akibat kemalangan tersebut mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menyebabkan kematian kerana menunggang sevlcara melulu dan berbahaya.
“Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ong Jin Siong 011-16490168,” katanya.- MalaysiaGazette