KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Kerajaan Pusat akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya memulihkan rumah penduduk yang terjejas akibat kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights, Puchong.
Menurut Perdana Menteri, usaha membaiki atau menggantikan rumah penduduk yang terlibat itu akan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kerajaan Negeri Selangor dan Petronas.
Bagaimanapun, kata beliau, usaha itu akan mengambil masa yang mungkin sehingga setahun.
“Rumah-rumah ini dari perbincangan kita dengan Kerajaan Negeri Selangor dan Petronas tidak mungkin dapat dipulihkan dalam masa terlalu singkat.
“Jadi sekarang Petronas dengan seluruh pasukan kerajaan sedang bincang bagaimana kita mampu ambil tindakan sementara yang munasabah, sebab boleh ambil masa setahun, tidak seperti banjir yang seminggu atau dua minggu (selesai), tetapi ini setahun lamanya.
“Jadi saya harap (penduduk) jangan bimbanglah…cuma ia akan ambil masa sedikit,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar yang diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diberikan penerangan oleh pasukan penyelamat berhubung perkembangan terkini tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights, Puchong, di sini petang ini.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan bantuan segera kepada penduduk yang terlibat iaitu sebanyak RM5,000 kepada mangsa yang rumah mereka musnah sepenuhnya, manakala RM2,500 kepada mangsa lain.
“Kalau perlu Kerajaan Persekutuan akan tambah (bantuan) jika memerlukan, bantuan segera ini supaya mereka yang terjejas dapat berbelanja sementara,” katanya.
Berhubung tempat tinggal yang lebih baik kepada mangsa yang rumah mereka terjejas, beliau berkata, perkara itu sedang diuruskan oleh seluruh jentera kerajaan ketika ini.
“Sebab kerosakan besar, jadi aspek perumahan ini memerlukan perancangan teliti, tidak boleh selesai dalam tempoh satu atau dua bulan,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut meredakan kebimbangan penduduk setempat berhubung risiko kejadian tersebut dengan menegaskan situasi kini terkawal dan selamat.
“Keutamaan kita sekarang keselamatan penduduk, setakat ini terkawal…sebab tu saya pilih datang sendiri ke sini, bagi membuktikan bahawa ia selamat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut berterima kasih kepada pihak pengurusan Kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya yang dijadikan pusat operasi segera bagi merawat penduduk yang menjadi mangsa dalam kejadian tersebut.
Penghargaan sama, turut dirakamkan Anwar kepada pihak pengurusan Masjid Putra Heights, yang Dewan Utamanya dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).
“Itulah cara kita…bila ada masalah, kita berpakat semua, selesai (sama-sama)…sebab itu saya kata kita kena baik dengan semua (rakyat pelbagai kaum dan agama),” katanya. – MalaysiaGazette