PEKAN- Penganjuran rumah terbuka dilihat sebagai platform bagi pemimpin negeri bertemu masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata majlis seumpama itu juga dapat mengeratkan silaturahim pemimpin dan penduduk dengan bersua muka dan berbual.

“Kehadiran hari ini bukan sahaja dalam kalangan peneroka, kampung tradisional malah juga masyarakat pelbagai kaum dan Orang Asli yang datang memeriahkan rumah terbuka ini.
“Majlis seumpama ini membolehkan kita berjumpa dan bersemuka antara satu sama lain dalam masa sama kita boleh borak serta berbincang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Dato’ Shahbandar, Chini di sini hari ini yang dimeriahkan dengan kehadiran lebih 10,000 tetamu.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama paduka-paduka anakanda berkenan berangkat ke majlis anjuran Wan Rosdy itu.
Al-Sultan Abdullah yang meluangkan masa lebih dua jam di majlis itu turut berkenan mendendangkan tiga lagu iaitu Satu Hari Di Hari Raya nyanyian Datuk M Nasir, Balik Kampung (Datuk Sudirman Arshad) dan Butakah Cinta (kumpulan Spring).
— BERNAMA