JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga meninggal dunia selepas motosikal ditunggang dirempuh motosikal ditunggang seorang kanak-kanak berusia 12 tahun.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian berlaku di persimpangan lorong Sentosa/Lorong Gembira di Kampung Sri Aman di sini semalam.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada 9.45 pagi berkaitan kejadian membabitkan dua motosikal mengakibatkan seorang maut.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal jenis Honda ditunggang seorang lelaki berusia 65 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Motosikal warga emas terbabit tiba-tiba dilanggar pada bahagian tepi sebelah kanan sebuah oleh motosikal Yamaha ditunggang seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kejadian berlaku ketika lelaki terbabit keluar dari simpang Lorong Sentosa manakala kanak-kanak terbabit berada di laluan utama Lorong Terus.
“Akibat kemalangan terbabit warga emas berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
“Sementara kanak-kanak berkenaan pula mengalami kecederaan lebam di bahagian lutut kiri,” tambah beliau.
Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (apj) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Ong Jin Siong 011-16490168.- MalaysiaGazette