ANGGOTA SMART menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dari runtuhan bangunan di Myanmar, semalam. - FOTO: FB SMART

KUALA LUMPUR – Mayat seorang ayah yang memeluk erat anaknya di bawah runtuhan sebuah rumah ibadat Buddha merupakan antara mangsa yang berjaya dikeluarkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dalam operasi di daerah Sagaing, Myanmar, semalam.

Lebih memilukan, operasi mengeluarkan mayat dua beranak itu dilakukan ketika seorang wanita yang merupakan isteri dan ibu kepada mangsa setia menanti di lokasi kejadian.

Detik sedih itu dikongsikan menerusi laman rasmi Facebook SMART malam tadi.

Tambahnya, misi menyelamat yang bermula pukul 2 petang dan mengambil masa empat jam itu disifatkan paling mencabar setakat ini.

Selain itu, pasukan SMART turut berdepan beberapa kali gegaran gempa bumi.

Ops Myanmar: Mayat ayah, anak berpelukan dikeluarkan dari runtuhan

“Setelah berjaya mengesan mangsa, emosi pasukan penyelamat mula teruji ketika melihat mangsa buat kali pertama di bawah runtuhan.

“Seorang ayah memeluk erat anaknya tetapi apakan daya, dinding dan lantai bangunan terlalu berat untuk ditanggung.

“Setelah menggunakan hampir keseluruhan peralatan khas menyelamat dan strategi, mayat seorang ayah berumur 39 tahun berjaya dikeluarkan bersama anaknya yang berusia 8 tahun.

“Lebih memilukan, si ibu setia menanti di luar bangunan sehingga saat Pasukan menyerahkan mayat keluarganya pada jam 1709 hrs (jam) kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya.

ANGGOTA SMART menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dari runtuhan bangunan di Myanmar, semalam. – FOTO: FB SMART

Terdahulu, dalam catatan berasingan, SMART turut memaklumkan mereka berjaya mengeluarkan dua mayat wanita dari bawah runtuhan dalam operasi berasingan semalam, iaitu pada hari kedua menerusi Operasi My Team Relief oleh pasukan MAS-01. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast