Wan Maznah Wan Yusoff (kiri) dan Wan Azizan (duduk kanan) ditemui wakil media di Masjid Putra Heights, Kuala Lumpur. FOTO HARI ANGGARA 2 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Dua beradik yang menetap di Kampung Kuala Sungai Baru, dekat sini tidak menyangka ‘hujan batu’ pada pagi semalam berpunca daripada letupan di Putra Heights.

Wan Maznah Wan Yusoff, 43, berkata, bunyi bising turut kedengaran di udara yang disangka pesawat terhempas seperti yang digambarkan anaknya.

Menceritakan kejadian itu, wanita tersebut berkata, mereka sekeluarga ketika itu sedang bersiap untuk beraya di Perak.

“Ketika sedang menunggu dobi pakaian selesai, anak saya menelefon memaklumkan ‘api besar’ di belakang rumah tok.

“Saya yang ketika itu sedang minum di kedai mamak bergegas pulang ke rumah.

“Tiba di selekoh menuju ke rumah, saya dapat rasa hujan batu halus-halus dan lihat api yang cukup marak tidak berapa jauh dari rumah. Masa itu saya redha saja,” ujarnya ketika ditemui di pusat penempatan sementara, Masjid Putra Heights dekat sini.

Menurut Wan Maznah, keadaan ketika itu panas dan bahangnya tidak mampu digambarkan.

“Mujur api menjulang, jika api merebak secara mendatar memang rumah kami terbakar kerana ia terletak berdekatan di antara satu sama lain,” ujarnya.

Menurut Wan Maznah semua lima ahli keluarganya sempat menyelamatkan dua buah motosikal keluar dari tempat kejadian.

“Saya sempat melawat rumah hari ini, syukur struktur binaan masih kekal, namun bahagian dalam rumah bertaburan,” ujarnya.

Sementara itu, kakaknya Wan Azizan, 46, berkata, trauma masih dirasakan sehingga tidak mampu melelapkan mata malam tadi kerana masih dihantui kejadian tersebut.

Ujarnya, dia sekeluarga yang tinggal bersebelahan dengan adiknya hanya keluar sehelai sepinggang menyelamatkan diri daripada bahang api yang terlalu panas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast