Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bercakap pada sidang media berkenaan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Height, Subang Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 APRIL 2025.

PUCHONG –  Polis menerima satu laporan yang mendakwa terdapat individu bermain mercun pada malam sebelum kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini, pada 1 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan berkenaan adalah antara 642 laporan polis yang diterima setakat ini.

“Kita terima satu laporan menyatakan ada orang bermain mercun pada malam 31 Mac, iaitu beberapa jam sebelum kejadian letupan berlaku awal pagi 1 April,” katanya dalam sidang media harian di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PTPK), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Hussein menjelaskan, ketika ini tiada bukti yang mengaitkan secara langsung permainan mercun tersebut dengan kebakaran paip gas itu.

“Berdasarkan siasatan semasa, kita tidak nampak kejadian bermain mercun itu ada kaitan langsung dengan letupan. Tapi kita masih akan teruskan siasatan secara menyeluruh, termasuk kemungkinan-kemungkinan lain,” ujarnya.

Sementara itu, Hussein berkata, polis telah merakam keterangan 118 individu setakat ini yang mempunyai pelbagai maklumat serta rakaman video mengenai insiden tersebut.

“Maklumat seperti ini sangat penting, kita sedang siasat dari semua sudut. Setiap laporan yang masuk, termasuk dari orang awam, kita ambil serius,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here