KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sabah memberi peringatan keras tidak akan berkompromi aktiviti pemburuan haram dan tindakan kejam terhadap hidupan liar yang dilindungi di negeri itu.
Ia susulan kejadian terbaharu seekor lagi gajah pygmy Borneo ditemukan mati tanpa kepala di Tawau, baru-baru ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata, pihaknya akan mengenal pasti pelaku jenayah itu, mendakwa mengikut undang-undang dan memastikan mereka bertanggungjawab sepenuhnya.

“KePKAS amat memandang serius penemuan gajah pygmy Borneo tanpa kepala di Tawau, apatah lagi ini merupakan kes kedua dalam tempoh masa yang singkat memberi gambaran wujudnya pemburuan haram yang berulang di negeri ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah Christina, Jabatan Hidupan Liar Sabah juga telah memulakan siasatan serta-merta berhubung kejadian itu, selain melaksanakan tindakan penguatkuasaan lebih ketat.
Ia katanya, termasuk operasi bersepadu dan sekatan jalan raya bersama agensi keselamatan lain di lokasi strategik bagi membendung aktiviti haram berkenaan.
Tegas beliau, insiden terbaharu itu juga menimbulkan keperluan mendesak untuk meningkatkan kerjasama antara agensi penguatkuasaan, komuniti setempat dan orang awam.
“KePKAS menyeru semua pihak tampil menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan dan terus komited dalam melindungi biodiversiti unik negeri Sabah,” katanya.
Tambahnya, jumlah kes seumpama itu juga dilihat semakin meningkat sejak suku terakhir tahun lalu.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya kerjasama lebih erat dan tindakan bersepadu antara semua agensi penguatkuasaan, pemuliharaan dan keselamatan dapat diwujudkan sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan bagi mengekang ancaman tersebut secara menyeluruh dan mengelakkan kehilangan spesies terancam negara yang lebih parah.
“Gajah pygmy Borneo adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 dan sebarang kesalahan terhadap spesies ini boleh membawa hukuman berat termasuk denda besar serta penjara.
“Dengan anggaran hanya 1,500 hingga 2,000 ekor yang masih wujud di habitat liar, setiap kehilangan amat memberi kesan terhadap usaha pemuliharaan yang sedang dijalankan,” tambahnya.
Kejadian pembunuhan kejam gajah pygmy Borneo sebelum ini turut dilaporkan berlaku berdekatan kawasan Maliau Basin di Kalabakan, Tawau pada pertengahan Januari lalu. – MalaysiaGazette