Muhammad Harisz disahkan maut selepas tercampak ke bahu jalan akibat kemalangan berhampiran Lapang Sasar Kampung Hijrah, dekat Jalan Cherok Paloh, di sini dalam kejadian 2.15 pagi

KUANTAN – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dengan kemalangan sebuah kereta jenis Proton Wira di Cherok Paloh, di sini dalam kejadian awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa, Muhammad Harisz Safwan Suhaimi, 18, menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dengan cukai jalan tamat tempoh disahkan meninggal dunia di lokasi nahas akibat kecederaan parah.

Manakala pemandu dan tiga penumpang Proton Wira mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dalam insiden jam 2.15 pagi tadi.

Katanya siasatan awal dapati, pemandu kereta dari arah Kuantan menghala ke arah Pekan.

“Apabila perjalanan sampai di tempat kejadian, ketika kereta sedang bergerak lurus, tiba-tiba datang penunggang motosikal dari arah bertentangan telah masuk ke laluan pemandu dan berlaku pelanggaran.

“Akibat pelanggaran itu, Muhammad Harisz telah tercampak ke bahu jalan dan maut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Zahari berkata berdasarkan siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian penunggang motosikal kerana gagal mengawal motosikalnya dan masuk ke laluan bertentangan sehingga menyebabkan nahas.

“Hasil pemeriksaan saman mendapati pemandu kereta mempunyai dua rekod saman pandu laju dan mangsa pula tiada rekod saman,” tambahnya.

Mayat mangsa dihantar ke HTAA bagi tujuan bedah siasat dan kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here