Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN) Sabah.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, pendirian itu adalah jelas memandangkan BN dan PH ketika ini merupakan tunjang utama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Maka, di Sabah juga, kita tidak seharusnya berpisah.

“Kita bersatu demi perpaduan, kestabilan dan pembangunan.

“Fokus kita ialah kepada negeri dan rakyat – bukan kepada politiking yang tiada kesudahan.

“Kita menolak politik ekstrem yang memecah-belahkan rakyat,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Bagaimanapun, tambah Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, kerjasama antara BN dan PH itu tidak bersifat eksklusif dan BN terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan yang mempunyai aspirasi yang sama.

Apa yang paling penting, menurut beliau, adalah keikhlasan dan kesediaan untuk bekerjasama dengan BN dan PH mesti sepakat dalam memilih rakan gabungan terbaik untuk Sabah.

Menjelaskan lebih lanjut, tambah beliau, sebarang pakatan politik yang mahu dibentuk itu perlu mengambil kira pengagihan kerusi yang adil dan saksama.

Selain itu, ujarnya, ia juga perlu mengambil kira dasar bersama termasuk menghormati autonomi Sabah serta akomodasi politik berasaskan saling menghormati, bukannya dominasi atau sikap `abang besar’.

“Setelah prinsip-prinsip ini dipersetujui, semua pihak mesti bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan.

“Ini bukan perjuangan peribadi – tetapi komitmen bersama demi masa depan Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here