KUALA LUMPUR- Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) memaklumkan keseluruhan peruntukan Bantuan Khas Pesawah berjumlah RM90 juta telah selesai disalurkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) secara berperingkat sehingga 28 Mac lalu.
Katanya dalam satu kenyataan hari ini, peruntukan khas fasa pertama sebanyak RM60 juta telah disalurkan secara berperingkat kepada KPKM, dengan pembayaran terakhir sebanyak RM15 juta selesai sepenuhnya pada 5 Mac lalu.
Manakala peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 13 Februari lalu juga telah diselesaikan dan disalurkan kepada Kerajaan pada 28 Mac.
“Dana yang disalurkan itu merupakan wang ihsan syarikat dan bukan dana awam.
“Oleh itu, ia tertakluk kepada tadbir urus kewangan korporat yang ketat dan pematuhan kewangan dalaman bagi kelulusan, sebelum dapat disalurkan kepada Kerajaan,” katanya.
Tambah syarikat itu lagi, BERNAS kekal komited terhadap pelan tindakan jangka panjang KPKM dengan mengutamakan kebajikan pesawah bagi menjamin ketersediaan produk dan mendokong agenda keterjaminan makanan negara.
Pada 4 April lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh merangkap Koordinator Gerakan Melawan Penindasan Petani (GEMPITA), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir bertanyakan bilakah Bantuan Khas Pesawah akan diserahkan kepada golongan tersebut.
Katanya, sudah memasuki hari kelima namun masih tiada khabar berita mengenai penyerahan sumbangan berjumlah RM30 juta yang dikatakan telah dipersetujui oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) untuk disumbangkan bagi meringankan beban pesawah padi. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Duit raya pesawah RM30 juta: UMNO Kedah desak kerajaan beri penjelasan