Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dewan De Seri Endon, PUSPANITAPURI, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi meskipun tarif sebanyak 24 peratus dikenakan oleh Amerika Syarikat.

Jelasnya, dari sudut pandangan ekonomi unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 sebanyak 4.5 peratus hingga 5.5 peratus perlu dikaji semula jika tarif 24 peratus dikenakan.

“Namun begitu, buat masa ini, izinkan saya meyakinkan anda bahawa Kerajaan tidak menjangkakan berlakunya kemelesetan ekonomi di Malaysia.

“Ekonomi negara kita kekal berdaya tahan. Asas makroekonomi kita kekal kukuh termasuklah perbelanjaan isi rumah yang mantap, pelaburan domestik yang kukuh, hasil pelancongan yang sihat, serta pelaksanaan pelan induk nasional yang berterusan.

“Oleh itu, asas ekonomi kita yang kukuh membolehkan kita menghadapi cabaran ini dari posisi yang kuat dan bersiap siaga,” katanya menerusi hantaran video di Facebook, malam ini.

Tambah Anwar, perdagangan Malaysia dibina atas rangkaian kerjasama serantau dan global yang pelbagai, yang telah diperkukuh selama bertahun-tahun.

Ini termasuk melalui ASEAN, Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), serta rundingan yang sedang berjalan dengan Kesatuan Eropah dan usaha mempererat hubungan dengan negara-negara Selatan Global.

Kerajaan juga katanya telah mengambil beberapa langkah awal bagi menangani kesan tarif ini, termasuk penubuhan Pusat Pemerintah Geoekonomi Negara (NGCC) yang dipengerusikan sendiri oleh beliau.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan membentangkan kajian mendalam mengenai kesan tarif terhadap beberapa sektor eksport ke Amerika Syarikat, minggu ini.

Tambah beliau, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz akan mengadakan mesyuarat secara maya bersama semua Menteri Ekonomi ASEAN, bagi menyediakan satu respons bersepadu dan terselaras.

Katanya, satu kajian impak terhadap sektor-sektor tertentu juga akan dijalankan bagi menentukan bentuk sokongan yang sesuai untuk sektor yang paling terkesan dengan pelaksanaan tarif ini.

“Semua pilihan akan dikaji dan dipertimbangkan demi memastikan kesejahteraan rakyat serta kelangsungan sektor perniagaan.

“Kerajaan MADANI juga akan mempercepat agenda reformasi ekonomi dan perindustrian negara – seperti yang digariskan dalam pelan-pelan induk seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan lain-lain – untuk membina daya tahan jangka panjang bagi ekonomi dan industri Malaysia.

“Di peringkat serantau, kita akan memperkukuh kerjasama bersama negara-negara jiran ASEAN. Negara-negara ASEAN adalah antara yang paling terkesan dengan tarif tinggi oleh Amerika Syarikat.

Ujar Anwar, Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia akan memimpin usaha untuk mengetengahkan pendirian serantau yang bersatu, mengekalkan rantaian bekalan yang terbuka dan berdaya tahan, serta memastikan suara ASEAN didengari dengan jelas dan tegas di pentas antarabangsa.

“Kita perlu mengakui bahawa pusingan tarif menyeluruh ini mungkin hanya permulaan kepada cabaran yang lebih besar dalam ekonomi luar negara.

“Kita semua mesti bersedia dari segi mental untuk menghadapi kemungkinan badai yang mendatang dan bekerjasama sebagai sebuah negara bagi melindungi kemakmuran kita yang berterusan.

“Namun, kerajaan ini bersedia untuk menangani dan mengurangkan impaknya. Kita akan melakukannya, bukan secara bersendirian atau konfrontasi, tetapi melalui kerjasama dengan rakan dan sekutu, secara konstruktif.

“Yakinlah, kerajaan MADANI akan terus mengutamakan kepentingan Malaysia, rakyat, perniagaan dan pengeksport kita,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here