Datuk Sohaimi Shahadan

KUALA LUMPUR – Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (DPIA) menyeru usahawan tempatan segera meneroka platform dan pasaran alternatif untuk mengekalkan kelangsungan perniagaan susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif timbal balik sehingga 24 peratus ke atas negara ini.

Presiden DPIA, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, antara pasaran yang dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk diteroka usahawan tempatan itu termasuk negara-negara ASEAN, Afrika, Asia Tengah dan Asia Barat.

“Kita perlu lihat ke arah pasaran yang lebih terbuka dan stabil yang mana negara-negara ASEAN, Timur Tengah (Asia Barat), Asia Tengah dan Afrika menawarkan ruang besar kepada produk Malaysia, khususnya dalam sektor halal, makanan, teknologi dan perkhidmatan.

“Kerajaan perlu lihat lebih luas pasaran baharu untuk bantu usahawan Malaysia. Pasaran AS bukan lagi pasaran yang boleh diharapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Sohaimi turut mengecam dasar tarif timbal balik AS ke atas Malaysia itu yang disifatkan sebagai langkah berat sebelah dan bakal memberi impak besar kepada hubungan dagangan antara kedua-dua negara.

Menyifatkan tindakan Washington itu sebagai ‘tidak mesra perdagangan’, katanya, langkah itu juga akan menjejaskan ratusan syarikat Malaysia yang bergantung kepada pasaran AS, khususnya dalam sektor eksport berasaskan perkilangan, elektronik, getah, dan produk makanan.

“Ramai usahawan tempatan terkesan secara langsung apabila kos meningkat, margin keuntungan terhakis dan persaingan harga semakin sengit.

“Kita tidak boleh bergantung pada satu pasaran yang semakin tidak stabil dari segi dasar,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Sohaimi, DPIA turut menjangkan berlaku beberapa perubahan dasar perniagaan dua hala antara Malaysia dan AS susulan tindakan tarif tersebut.

Antaranya, kata beliau, termasuk semakan semula dasar eksport negara serta kemungkinan peralihan fokus perdagangan kepada rakan dagang serantau yang lebih konsisten.

Sebagai langkah awal, ujarnya, DPIA menggesa Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) segera memanggil semua usahawan yang terlibat dalam aktiviti import dan eksport ke AS untuk satu sesi perbincangan khas.

“Kita perlukan pelan tindakan menyeluruh. Libat urus secara terus dengan pemain industri penting supaya strategi mitigasi dapat dirangka bersama,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru kerajaan menilai semula tumpuan pasaran global dengan memberi lebih perhatian kepada negara-negara ASEAN dan Asia Barat sebagai rakan dagang utama.

Menurutnya, kerjasama serantau bukan sahaja lebih stabil, malah menawarkan peluang pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

“Kita harus melangkah lebih jauh daripada pergantungan kepada AS.

“Negara ASEAN seperti Indonesia, Vietnam serta pasaran Timur Tengah yang kini rancak membangunkan sektor ekonomi bukan minyak adalah platform terbaik untuk Malaysia maju ke hadapan,” ujarnya.

Jelas beliau, tindakan tegas dan bijak perlu diambil segera bagi memastikan sektor perdagangan Malaysia tidak terus terjejas dan kekal relevan dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here