KUALA LUMPUR – Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berpandangan adalah menjadi keperluan untuk mengkaji secara mendalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights dan mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.
Beliau yang juga seorang jurutera berkata, insiden itu menjadi pengajaran kepada semua pihak termasuk di UM, yang mana keselamatan adalah kayu ukur utama yang tidak boleh dikompromi, dan kejadian seumpama itu sepatutnya tidak berlaku.
Jelasnya, UM juga akan menggandakan usaha supaya semua mekanisme pemantauan disemak semula termasuk memastikan tinjauan menyeluruh dan ekosistem yang selamat dalam proses dan operasi di universiti tersebut, terutama yang melibatkan semua projek berisiko sederhana dan tinggi.
“Ia akan melibatkan semakan menyeluruh terhadap aspek keselamatan dan memastikan kami mempunyai mekanisme pencegahan yang kukuh dan berpandangan ke hadapan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau, hari ini.
Terdahulu, Noor Azuan berkata, pasukan UM turut bertindak secara proaktif dalam inisiatif, usaha dan dedikasi untuk menyalurkan bantuan dan sokongan yang diperlukan dalam pelbagai bentuk susulan insiden kebakaran tersebut.
Ia katanya, merangkumi sokongan kesihatan mental sehingga kepada kepakaran perubatan, bersama pasukan profesional dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), yang diketuai Timbalan Pengarah Klinikal (Perubatan) PPUM, Prof. Dr. Mohmmad Salleh Yahya.
“Kami merakamkan simpati dan empati yang mendalam kepada semua yang terkesan akibat insiden ini, dan kami akan terus menghulurkan sebarang bantuan dan pertolongan yang diperlukan,” katanya.
Malah, tambahnya, beliau sendiri turut ke lokasi kejadian dan menyaksikan bagaimana pelbagai pasukan telah bekerja tanpa mengenal penat lelah dalam memberikan keselesaan dan bantuan kepada para mangsa.
“Perkara ini mencerminkan semangat perpaduan sebenar rakyat Malaysia dan konsep muhibah, dan ia adalah satu pemandangan yang sungguh menyentuh hati.
“Saya sempat bertemu dengan beberapa mangsa, di mana mereka berkongsi penderitaan dan menceritakan betapa panasnya keadaan semasa kejadian berlaku, dan saya percaya suhu ketika itu benar-benar mencecah sehingga 1,000 darjah Celsius,” katanya.
Dalam masa sama, beliau merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pasukan sukarelawan UM yang terdiri daripada pelajar, kakitangan, pakar, pasukan perubatan dan ramai lagi yang telah bekerjasama dalam usaha bantuan tersebut. – MalaysiaGazette