Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor mengesahkan sebanyak 151 rumah dan semua pemilik dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing yang terlibat dalam insiden paip gas terbakar setakat pukul 11 pagi ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pasukan sukarelawan termasuk SERVE dan Team Selangor telah turun ke rumah-rumah ini untuk membantu proses pembersihan.

“Proses ini dilakukan dengan kebenaran pemilik rumah mangsa agar mereka dapat mula kembali ke kehidupan harian dengan lebih pantas,” katanya pada sidang media di Dewan Annex, Bangunan SUK Selangor hari ini.

Terdahulu Amirudin mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor ke-6 mengenai kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights di sini pada hari kedua Aidilfitri menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke PPS.

Kebakaran saluran paip gas milik Petronas sepanjang 500 meter yang bermula sekitar pukul 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya.

Amirudin juga berkata, sebanyak 437 rumah telah dikenal pasti terkesan sebagai angka muktamad setelah pasukan teknikal turun dari rumah ke rumah dan melaksanakan proses pemeriksaan terhadap struktur dan kerosakan.

“Kesemua rumah ini diperincikan dalam tiga kategori, iaitu musnah sepenuhnya (kebakaran struktur melebihi 40 peratus), separa musnah (kebakaran kurang 40 peratus) dan terkesan tetapi tidak terbakar struktur,” katanya.

Jelasnya, sebanyak 81 rumah disahkan dalam kategori musnah sepenuhnya, manakala 81 lagi ditakrifkan sebagai separa musnah manakala 57 lagi terbakar tetapi tidak mengalami kesan kepada strukturnya.

“Baki sebanyak 218 rumah tidak terjejas,” katanya.

Selain itu, katanya, nilai kerugian bagi setiap rumah yang mengalami kerosakan mencecah RM65.4 juta.

“Pasukan teknikal yang diketuai oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut membuat cerapan awal nilai kerugian bagi setiap rumah.

“Manakala anggaran nilai yang telah diselamatkan atas usaha penduduk-penduduk serta agensi seperti bomba adalah sebanyak RM285.9 juta.

“Penilaian kerosakan kepada infrastruktur awam dan kawasan berdekatan sedang berjalan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here