ATM penuhi impian kanak-kanak penghidap kanser darah untuk jadi tentera Foto ATM

KUALA LUMPUR- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merealisasikan impian seorang kanak-kanak berusia empat tahun, Akif Ziyan Azhar, yang menghidap Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL) atau kanser darah, yang berimpian ingin mengetahui dan merasai pengalaman bertugas sebagai seorang tentera.

Program yang berlangsung di Pangkalan Udara (PU) Jugra, Banting itu menyaksikan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar sendiri turun padang untuk menyantuni Akif di sepanjang program.

“Kejayaan ini dapat dicapai dengan kerjasama erat bersama Make-A-Wish Malaysia yang menyokong program khas ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, ATM juga telah menyediakan Close Escort Team lengkap berpakaian tempur untuk mengiringi Akif sepanjang program, memastikan beliau merasai pengalaman ketenteraan yang penuh makna dan istimewa.

Katanya, sambutan bermula dengan kehadiran PAT yang menjemput sendiri kanak-kanak berkenaan di rumahnya di Jeram, Selangor, sebelum membawa Akif ke PU Jugra menggunakan kenderaan Fitted for Radio (FFR) – Cendana Auto, kenderaan khas milik ATM.

Akif yang telah mengenakan pakaian celoreng digital Tentera Darat Malaysia, kemudiannya berpeluang melihat dan merasai pengalaman Pemeriksaan Kawalan Suku oleh PAT di Balai Pengawal PU Jugra.

Kanak-kanak terbabit turut diberi peluang berada di Pentas Kawalan ketika pemeriksaan berlangsung.

Akif yang ditemani ibu bapanya turut menyaksikan menyaksikan tayangan video mengenai Pasukan Khas Udara (PASKAU), diikuti dengan Demonstrasi Menyelamat Tebusan oleh tim PASKAU.

“Program diteruskan dengan satu istiadat perbarisan, di mana Akif dianugerahkan pakaian seragam PASKAU oleh PAT.

“Sebagai penghargaan dan tanda kenang-kenangan, Akif telah diberi cenderahati loreng digital TUDM daripada wakil Panglima Tentera Udara, Mej Jen Datuk Mahadzer Amin TUDM, PANGWILUD 1 serta cenderahati khas daripada Make-A-Wish Malaysia.

“PAT sendiri mewakili ATM turut memberikan cenderahati kepada Adik Akif dan keluarganya sebagai simbolik kenangan manis buat beliau,” ujarnya.

Selain, anak seorang warga ATM iaitu Siti Hawa Roslan berusia 7 tahun yang mengalami penyakit kronik antara yang turut hadir bersama dengan sembilan lagi kanak-kanak dalam kalangan anak warga ATM yang bersekolah di Tadika Perpaduan telah terlibat di sepanjang program ini berlangsung.

Katanya, penglibatan anak warga ATM ini sebagai tanda kebersamaan dan solidariti kepada Akif.

“Sebagai organisasi yang sentiasa menyokong usaha ke arah kesejahteraan masyarakat, ATM sentiasa berkomitmen untuk membantu bagi menunaikan impian kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser.

Semoga sokongan ATM bagi program sebegini, memberikan pengalaman yang sukar dilupakan serta memberi kegembiraan kepada adik Akif.

“Mudah-mudahan ia membawa kenangan indah yang akan kekal sepanjang hayat serta menunjukkan contoh teladan yang positif kepada masyarakat agar sentiasa menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan,” katanya lagi.

Tambah kenyataan itu, ATM bertekad untuk terus memberikan sokongan dan sumbangan walaupun sekecilnya kepada masyarakat agar negara berdaulat ini sentiasa makmur sejahtera dan terpelihara.

ATM juga katanya, akan sentiasa berusaha melaksanakan usaha sebegini untuk memupuk semangat juang dan disiplin kepada masyarakat serta membuatkan mereka sedar mengenai peranan pasukan keselamatan khususnya generasi muda. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here