KUANTAN – Seorang lelaki berdepan detik cemas setelah menyedari anak lelakinya yang berusia tiga tahun hilang dari tempat duduk belakang kereta yang sedang dipandunya.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 11 pagi tadi di kilometer 5 Jalan Lipis-Merapoh, Kuala Lipis.
Ketika kejadian, katanya, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun memandu sebuah kereta jenis Proton Iswara bersama seorang anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Berembang dari kedai jual perkakas di Tempoyang, Kuala Lipis.
Beliau berkata, lelaki itu memandu kereta berkenaan bersama anaknya yang duduk di kerusi penumpang belakang menghala ke simpang Tempoyang untuk membuat pusingan U.
“Selepas membuat pusingan U, pemandu telah berhenti di tepi jalan sebelah kiri di kilometer 5 Jalan Lipis-Merapoh untuk mengangkat panggilan telefon.
“Kemudian, pemandu meneruskan perjalanan. Namun, kira-kira dua kilometer perjalanan, dia menyedari anaknya telah tiada di dalam kenderaan dan cuba mencarinya,” kata Ismail dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, setelah gagal mencari kanak-kanak tersebut, lelaki berkenaan pergi ke Balai Polis Kuala Lipis untuk membuat laporan.
Dalam masa sama, katanya terdapat orang awam yang melalui jalan tersebut telah menjumpai seorang kanak-kanak yang cedera di bahagian muka berada seorang diri di tepi jalan, lalu menghantarnya ke Balai Polis Padang Tengku.
Setibanya lelaki itu di Balai Polis Padang Tengku, dia dimaklumkan bahawa anakya berada di Klinik Kesihatan Padang Tengku.
“Akibat kemalangan tersebut, kanak-kanak berusia tiga tahun itu telah mengalami kecederaan di bahagian muka dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis.
“Dipercayai kanak-kanak terbabit terjatuh dari kenderaan melalui tingkap belakang kenderaan yang terbuka ketika bapanya berhenti untuk mengangkat panggilan telefon,” katanya.
Ismail memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette