TAPAH – Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 26 April ini.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika mengumumkan calon pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRK berkenaan, di Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh di sini, pada Isnin.
Saarani berkata, pemilihan itu dibuat selepas perbincangan dan persetujuan bersama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir pada majlis berkenaan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Untuk rekod penyandang kerusi DUN Ayer Kuning dari BN telah memberikan khidmat baik sejak diwakili Allahyarham Datuk Azman Mahalan pada tahun 1986 hingga 2004, Datuk Samsudin Abu Hassan (2004 hingga 2022) serta Allahyarham Ishsam Shahruddin (2022 hingga 2025).
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian pada 26 April dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April depan.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586). -MalaysiaGazette