Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.

SUBANG JAYA – Masyarakat dinasihatkan agar tidak cepat menjatuhkan hukum terhadap sesuatu perkara yang boleh menimbulkan kegusaran ramai terutamanya dalam aspek akidah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, umat Islam perlu berpandukan nasihat daripada pihak agama mengenai pengurusan ibadah ketika bencana.

“Dalam konteks hari ini, konteks bencana, saya mohon kepada semua rakyat agar melihat dari sudut itu, bukan cepat membuat keputusan (menjatuhkan hukum).

“Perkara itu (solat dalam kuil) kita perlu merujuk kepada pihak berkuasa agama. Sebenarnya sudah ada nasihat-nasihat yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa tragedi letupan paip gas Putra Heights di sini hari ini.

Terdahulu tular di media sosial gambar seorang lelaki menunaikan solat di dalam Kuil Sri Maha Kaliamman Putra Heights, Subang Jaya.

Ia susulan kejadian letupan gas di Putra Heights pada Isnin lalu hingga menjejaskan ratusan mangsa yang terpaksa dipindahkan di beberapa PPS.

Memetik laporan media, ketua kuil yang dikenali sebagai Murugeswaran menyatakan, pihaknya sedia membuka kawasan mereka kepada mangsa yang memerlukan tempat berteduh dan menyediakan pelbagai kemudahan asas.

Malah beliau berkata, pihaknya bukan sekadar memberikan ruang berteduh, tetapi juga menyediakan kemudahan seperti tempat letak kenderaan, tandas dan ruang khas untuk penganut Islam menunaikan solat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here