Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri melawat mangsa-mangsa insiden kebakaran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara, Masjid Putra Heights, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 07 APRIL 2025

SUBANG JAYA – Permohonan bantuan yang kecil dibuat oleh mangsa tragedi letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights di sini baru-baru ini akan cuba ditunaikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang memberikan jaminan itu mengakui berdasarkan hasil temu bual ketika sesi kaunseling yang dijalankan oleh kaunselor JKM, ramai mangsa yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) memerlukan bantuan berbeza dan berbentuk peribadi.

Katanya, antara barangan yang perlu disegerakan untuk dihulurkan kepada mangsa adalah minyak angin, telefon bimbit, penapis udara dan keperluan wanita bagi ibu yang mempunyai bayi.

Malah sokongan kewangan juga perlu diberikan kepada beberapa mangsa bagi memudahkan pergerakan mereka.

“Dalam sesi kaunseling yang berlangsung kepada 353 orang, kita mengetahui apa yang diperlukan setiap daripada mereka dan dari situ kita mendapati keperluan mereka bukan bersifat menyeluruh tetapi secara individu.

“Ada yang terdesak memerlukan telefon dan ada yang memerlukan penapis udara kerana mempunyai anak autisme malah ada ibu yang memerlukan nursing bra kerana masih mempunyai anak kecil.

“Kaunselor kita juga mendapati ada setengah mangsa hanya memerlukan minyak angin sahaja kerana pening berada di PPS. Ini semua kita akan santuni segera kerana ia adalah keperluan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di PPS Masjid Putra Heights di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, JKM turut akan memberi bantuan berbentuk wang tunai khusus kepada  mangsa yang memerlukan bantuan dalam pengurusan diri dan ahli keluarga.

“Contohnya, ada seorang mangsa yang mempunyai keseluruhan keluarga dirawat di hospital dan dia perlu berulang-alik ke hospital. Pastinya dia memerlukan wang untuk menggunakan Grab dan sebagainya,” ujarnya.

Nancy berkata, setiap mangsa tragedi itu akan disantuni dengan sebaik-baiknya bukan sekadar atas rasa simpati tetapi empati yang tinggi.

Malah beliau memberitahu, JKM akan menjadi pihak yang mengadakan koordinasi dengan agensi-agensi kerajaan lain untuk menunaikan permintaan dan keperluan mereka.

“Pastinya ada permintaan yang perlu diuruskan oleh agensi lain dan JKM bertanggungjawab untuk melakukan koordinasi antara mangsa dan pihak berkenaan. Kita akan santuni semua mangsa secara peribadi,” katanya.

Diminta mengulas mengenai dakwaan khemah yang sempit dan permintaan untuk mempercepatkan pemindahan, Nancy memaklumkan, semua mangsa tidak mahu untuk berada di PPS jika diberi pilihan tetapi ruang di situ disediakan sebaiknya untuk mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast