Gambah ihsan IPD Maran

KUANTAN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas kereta dipandu ibunya terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan di kilometer 147.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada pukul 1.40 petang tadi.

“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian, mangsa bersama tiga ahli keluarga yang lain menaiki kereta jenis Honda Civic dalam perjalanan pulang ke Pekan dari Kuala Lumpur.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, dalam keadaan cuaca hujan, kereta itu yang dipandu ibunya hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan sebelah kanan dan mengakibatkan mangsa yang merupakan penumpang belakang bahagian kanan telah tercampak keluar daripada kereta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Wong, kanak-kanak itu tercampak keluar ke laluan bertentangan dan jatuh mengenai cermin besar hadapan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dinaiki tiga sekeluarga.

Akibat tragedi itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Klinik Kesihatan Pekan Awah, manakala ketiga-tiga penumpang di dalam Perodua Myvi mengalami kecederaan ringan.

“Ibu mangsa dan bapanya yang merupakan penumpang hadapan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kakak mangsa berusia sembilan tahun yang merupakan penumpang belakang bahagian kiri mengalami kecederaan ringan.

“Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan ringan sedang dirawat di Hospital Temerloh,” jelasnya.

Wong berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here