KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas 30,000 kilogram (kg) bijih timah di dalam 600 buah guni yang dianggarkan bernilai RM2.8 juta di sebuah jeti haram di Rompin pada 11 Mac baru-baru ini.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, serbuan dijalankan pihaknya di lokasi itu sekitar pukul 2 pagi ketika aktiviti pemunggahan sedang dilakukan lima orang suspek.
“Ketika serbuan dilakukan, lima suspek iaitu empat warganegara Indonesia dan seorang rakyat tempatan sedang memunggah sumber mineral yang diisi dalam guni berwarna putih dengan berat 50 kg setiap guni dari sebuah bot nelayan ke sebuah lori.
“Pemeriksaan selanjutnya dilakukan ke atas kapal itu turut menemui muatan bijih timah yang disimpan di dalam guni sedang dimuatkan di dalam ruang penyimpanan dalam kapal berkenaan,” katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM Pahang di sini hari ini.
Jelas Mohd Asri pihaknya turut merampas bot dan lori yang digunakan menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM4.1 juta.
Beliau berkata, kesemua suspek yang berusia 23 tahun hingga 53 tahun telah ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan kes mengikut Seksyen 36 (1), Seksyen 52 (1) dan Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.
Kesemua suspek lelaki itu juga telah didakwa di Mahkamah Majistret Rompin pada 21 Mac depan, namun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.
Berikutan itu, katanya kes akan disebut semula pada 29 Mei depan. – MalaysiaGazette