Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP WAN Azlan Wan Mamat

KUALA LUMPUR – Memasuki hari ketujuh kejadian letupan dan kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, pihak berkuasa masih meneruskan kerja-kerja mengeluarkan air bertakung di kawasan kawah yang terbentuk di ‘ground zero’ ekoran hujan sejak beberapa hari lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata paras air bertakung meningkat sedikit pagi ini disebabkan hujan malam tadi.

“Ada sedikit peningkatan air yang bertakung di kawasan tersebut tetapi buat masa ini semuanya lancar dan kerja-kerja mengepam sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Difahamkan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain akan hadir di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights petang ini.

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad berkata dua jentera untuk mengepam air sentiasa tersedia di lokasi kejadian sekiranya ada keperluan untuk mengepam keluar air yang bertakung.

“Pam yang disediakan sentiasa berada di situ kerana proses ini bukanlah ‘one-shot’, jadi apabila hujan kita boleh terus keluarkan air yang bertakung di situ,” katanya ketika dihubungi Bernama pagi ini.

Insiden kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Sebanyak 148 rumah terjejas serta mengalami kerosakan, tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan manakala 87 lagi rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami.

Sementara itu Kementerian Kesihatan (KKM) juga memaklumkan 38 daripada keseluruhan 146 mangsa tragedi itu masih dirawat di hospital dan klinik, merangkumi 18 mangsa di hospital kerajaan manakala 20 lagi di kemudahan kesihatan swasta. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here