SUBANG – Kerajaan Perpaduan telah menyalurkan bantuan sebanyak RM1.4 juta kepada mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selasa lepas.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, jumlah tersebut merangkumi sumbangan yang disalurkan oleh Petronas berikutan insiden berkenaan.

“Jumlah keseluruhan adalah RM1.4 juta bersama dengan sumbangan Petronas, kita serahkan.

“Setakat ini sahaja bantuan tapi kita mengalukan sumbangan daripada pihak korporat dan syarikat dalam bentuk CSR dan kita harapkan banyak lagi syarikat swasta yang ke hadapan untuk membantu mangsa-mangsa tragedi ini,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada mangsa kejadian tersebut di Dewan Masyarakat, Putra Heights.

Seramai 191 daripada 219 penerima bantuan hadir bagi sesi serahan ini dan bakinya akan diserahkan secara langsung oleh Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU).

Menurut Azman, sejumlah RM5,000 diserahkan kepada mangsa yang tidak boleh menduduki rumah masing-masing dan RM2,500 kepada rumah yang boleh diduduki.

Dalam pada itu, penerima yang ditemui amat bersyukur dengan bantuan yang diterima mereka.

Abdul Aziz Zakaria
Abdul Aziz Zakaria

Bagi penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Abdul Aziz Zakaria, 53, bantuan ini dapat meringankan beban untuk mereka memulakan hidup baharu selepas rumah yang didiami musnah 100 peratus.

“Bantuan ini dapat meringankan sikit beban saya, kalau tengok keadaan rumah memang teruk dan tidak boleh buat apa. Setidak-tidaknya sumbangan ini dapat membantu memperbaiki rumah.

“Rumah saya musnah sepenuhnya, hancur dan tidak boleh buat apa, kalau nak kena bina baru. Kalau nak baik pulih itu tentunya lebih RM100,000,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Nur Sharizan Rosli
Nur Sharizan Rosli

Menurut Nur Sharizan Rosli, 39, beliau memerlukan kediaman baru kerana rumah yang disewanya turut musnah ekoran kebakaran tersebut.

“Saya perlukan tempat tinggal kerana rumah sewa saya rosak teruk. Jumlah kerosakan mungkin dalam RM60,000 hingga RM80,000 sebab barang niaga saya rosak.

“Sedikit sebanyak dengan bantuan ini dapat meringankan beban saya,” katanya.

Bagi penduduk Taman Putra Harmoni, Puspagaran A/L Alakasundaram, 45, beliau terkilan kerana rumah yang diduduki sejak 13 tahun lalu musnah sekelip mata.

Ujar Puspagaran, beliau berharap agar ada pihak yang sudi membantu untuk membaiki rumahnya.

“Saya harap akan ada bantuan untuk bina semula rumah sebab keseluruhan rumah semua musnah.

“Saya bersama keluarga tinggal di rumah ahli keluarga lain,” katanya.

Ahmad Baharuddin Hamid
Ahmad Baharuddin Hamid

Seorang lagi mangsa, Ahmad Baharuddin Hamid, 56, berkata, beliau menghadapi kerugian berjumlah hampir RM1 juta.

“Bantuan ini mungkin dapat memudahkan saya dan keluarga untuk memulakan hidup baharu, terima kasih kepada kerajaan, kerajaan negeri dan Petronas dan PMX.

“Saya anggarkan jumlah kerugian saya hampir RM1 juta antara rumah dan dua buah kereta,” katanya.

Kebakaran saluran gas Petronas yang berlaku pada 8.10 pagi Selasa lepas menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 38 daripada keseluruhan 146 mangsa tragedi itu masih dirawat di hospital dan klinik, merangkumi 18 mangsa di hospital kerajaan manakala 20 lagi di kemudahan kesihatan swasta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini daripada 437 rumah yang telah diperiksa, 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kebakaran pada struktur melebihi 40 peratus manakala 81 rumah lain dikategorikan sebagai separa musnah.

Beliau memaklumkan 57 rumah turut terbakar tanpa menjejaskan struktur binaan, manakala baki 218 rumah didapati tidak terkesan akibat insiden berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here