Gambar tular media sosial

MARAN – Suasana hari raya dikejutkan dengan insiden pergaduhan antara jiran tetangga di Felda Jengka 2 dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, seorang lelaki maut dan dua lagi cedera dalam tragedi yang berlaku pukul 10 pagi itu.

Suspek, Hasdi Abdul, 57, dikatakan menggunakan sebilah pisau ketika mengamuk secara tiba-tiba dan menikam dua orang mangsa.

“Akibat serangan itu, kedua-dua mangsa mempunyai pertalian darah ibu saudara dan anak saudara itu mengalami kecederaan akibat tikaman di perut.

“Pihak polis menerima laporan pada pukul 10.15 pagi yang memaklumkan berlaku kejadian pergaduhan di rumah bernombor 213, Felda Jengka 2.

“Suspek kemudian ditemukan dengan kesan dan kebiruan pada kedua-dua mata serta dalam keadaan kaki dan tangan terikat oleh penduduk kampung,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Superintendan Wong Kim Wai

Hasil siasatan awal mendapati suspek bertindak ganas apabila menyerang dua individu dengan senjata tajam sehingga mencederakan mangsa.

Jelas Kim Wai, mangsa pertama, Salma Mustapha, 52, mengalami kesan tikaman sedalam tiga sentimeter di bahagian perut selain luka pada tangan kanan dan dagu.

Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh dan kini dilaporkan stabil.

Manakala mangsa kedua, Mohammad Syahmil Iqbal Mohd. Samsuri,16, mengalami kecederaan di paha kanan akibat tikaman dan telah dibenarkan discaj.

Tambah Kim Wai, polis ketika ke lokasi mendapati suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan lebam dan kebiruan pada mata selain tangannya terikat.

Suspek disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Jengka.

“Mayat suspek kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan  (HTAA) untuk tujuan bedah siasat pada Isnin.

“Polis menahan empat lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam pergelutan dengan suspek. Kesemua mereka akan direman esok (hari ini) bagi membantu siasatan lanjut berhubung punca kematian lelaki berkenaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah dengan senjata.

Sehubungan itu, polis mengingatkan semua pihak agar tidak menviralkan gambar berkaitan kejadian berkenaan kerana dibimbangi menggangu siastan polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here