SUBANG JAYA – Sekurang-kurangnya 235 penduduk terjejas dalam insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights di sini telah mendapatkan khidmat kaunseling.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang memaklumkan perkara itu berkata, pihaknya menghulurkan bantuan berdasarkan keperluan khusus terutama terhadap golongan orang kurang upaya (OKU).
“Daripada kaunseling itu di Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), kita dapat mengetahui apa yang mereka perlukan. Daripada situ kita telah menyantuni mereka yang terjejas lebih kepada keperluan setiap individu.
“Ini bukan keperluan secara menyeluruh lagi, ada juga yang memerlukan telefon bimbit kerana keperluan terlalu terdesak.
“Walaupun kita tak bagi kepada semua tetapi kami mengkaji keperluan masing-masing dan menariknya ada juga yang memerlukan air purifier (penapis udara) kerana memiliki anak autistik. Ada yang baru bersalin perlukan pakaian dalam… kita beri juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyantuni penduduk terjejas di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights di sini hari ini.
Dalam pada itu Nancy berkata, hanya 0.7 peratus sahaja penduduk yang mengalami trauma akibat kejadian.
“Yang betul-betul trauma itu ada tetapi tidak ramai, peratusan mungkin dalam 0.7 peratus sahaja, tidaklah yang betul-betul teruk. Yang teruk sudah mendapat rawatan di hospital,” katanya.
Mengulas lanjut, Nancy memberitahu, lebih 10 kaunselor ditempatkan di PSSS setiap hari yang memberi khidmat secara bergilir.
“Alhamdulillah setiap hari tidak kurang 10 kaunselor di lokasi, mereka bekerja dalam tiga shif dalam sehari. Mereka (penduduk) perlukan seseorang untuk mengadu. Tapi kebanyakan tidaklah masalah yang begitu besar sekali. Jadi sebab itu kita kategorikan mereka sebab kebanyakan mahu keluar dari sini, mereka mahu fresh air (udara segar),” ujarnya.
Untuk rekod, kejadian pada pukul 8.10 pagi Selasa lalu menyaksikan kebakaran saluran gas milik Petronas menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter, dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.
Operasi memadamkan kebakaran mengambil masa hampir lapan jam.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 38 daripada keseluruhan 146 mangsa tragedi itu masih dirawat di hospital dan klinik, merangkumi 18 mangsa di hospital kerajaan manakala 20 lagi di kemudahan kesihatan swasta. – MalaysiaGazette