KUALA LUMPUR – Purata tarif sebenar ke atas import Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan Malaysia adalah sekitar 5.6 peratus, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sehubungan itu, beliau menyangkal dakwaan Malaysia mengenakan tarif 47 peratus ke atas import AS ke Malaysia, yang menjadi asas kepada negara berkenaan meningkatkan tarif timbal balik kepada 24 peratus pada Rabu lalu.
“Asas pengiraan itu kurang tepat dan ini telah mengakibatkan Malaysia dikenakan tarif timbal balas pada kadar 24 peratus,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, Malaysia ketika ini juga sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada AS berhubung pengiraan 47 peratus tersebut.
Malah, jelasnya, beliau juga telah berjumpa dengan Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan hari ini bagi membincangkan mengenai perkara tersebut yang sebelum ini dibangkitkan oleh Presiden AS, Donald Trump.
Dalam masa sama, ujar beliau, pegawai Malaysia di AS juga akan mengadakan pertemuan dengan pentadbiran AS di Washington bagi memberi penjelasan berhubung isu dakwaan tarif yang dikenakan Malaysia tersebut.
Sementara itu, ketika ditanya kemungkinan wujud minat dalam kalangan perniagaan antarabangsa untuk memindahkan operasi mereka ke negara ini susulan tarif timbal balik AS yang masih rendah berbanding negara lain, Tengku Zafrul tidak menolak perkara tersebut.
Bagaimanapun, jelas beliau, Malaysia tidak melihat kemungkinan tersebut sebagai potensi atau penyelesaian jangka panjang dalam mendepani impak peningkatan tarif timbal balik AS terhadap Malaysia ketika ini.
Sebagai perbandingan, negara lain yang dikenakan tarif timbal balik yang lebih tinggi oleh AS berbanding Malaysia adalah Kemboja (49 peratus); Indonesia (32 peratus); Laos (48 peratus); Myanmar (45 peratus): Thailand (37 peratus); Vietnam (46 peratus) dan China (34 peratus). – MalaysiaGazette