PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim secara kesal mengakui masih terdapat isu ketirisan selain laporan rasuah dan penyalahgunaan kuasa berlaku dalam kalangan penjawat awam di negara ini.
Perdana Menteri menggesa agar kumpulan penjawat awam mencari jalan supaya langkah reformasi perkhidmatan awam yang sedang dilaksanakan dapat mencapai apa yang dimahukan selain berkata, isu tersebut tidak boleh diambil ringan.
“Antara isu yang terkait ialah kita seharusnya berbicara soal ini, bagaimana sebagai negara bina satu kesatuan, fokus dalam semangat Madani dengan kekuatan akidah, akhlak, nilai (selain) kebijaksanaan fiskal dan ekonomi untuk mengangkat diri kita.
“Tapi perbincangan ini nampak tidak begitu menarik, walhal faktor itu boleh selamatkan kita, kecerdasan buatan (AI), transformasi digital bagi menentukan kita lebih cekap, selamat dan maju.
“Hal ini seharusnya kita renungkan, AI untuk rakyat, kita tekankan, sama ada berhasil atau tidak, itu terserah kepada kita semua,” katanya dalam ucapan sempena Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan April tahun 2025 di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITAPURI hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadilah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Hadir sama adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said. – MalaysiaGazette