KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 163 dokumen gantian kenderaan secara percuma kepada mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, JPJ Selangor menyediakan Kaunter Bergerak JPJ Mobile untuk memudahkan mangsa kebakaran mendapatkan penggantian dokumen kenderaan yang hilang atau musnah secara percuma.
“Perkhidmatan tersebut termasuk penggantian dokumen seperti Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM).
JPJ turut menerima 19 permohonan untuk pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) serta memberikan 58 sesi khidmat nasihat mengenai insurans kenderaan kepada mangsa kebakaran di Putra Heights,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kaunter Bergerak JPJ Mobile telah beroperasi bermula Khamis lalu hingga semalam di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masjid Putra Heights.
Inisiatif itu bertujuan untuk meringankan beban mangsa dengan menggantikan dokumen kenderaan yang hilang atau musnah tanpa memerlukan laporan polis. – MalaysiaGazette