PUTRAJAYA – Malaysia masih mempunyai ruang untuk perbincangan dan perundingan terhadap pengenalan tarif baharu oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang diumumkan pada Rabu lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menegaskan, kerajaan perpaduan tidak boleh mengambil enteng akan pengumuman tarif berkenaan.
“Walaupun kita tahu ini suatu yang agak aneh sebab di antara negara yang paling kuat mendukung semangat perdagangan bebas, penubuhan WTO dan GATT sebelumnya adalah negara kaya termasuk dan utamanya Amerika Syarikat.
“Tetapi keadaan berubah. Sebab itu saya kata pasca normal ini kadang-kadang melihat beberapa kebijakan politik dan ekonomi yang tidak terjangka.
“Pertamanya, menentukan apa yang diputuskan secara terperinci kerana kenyataan itu umum dan ruang untuk perbincangan dan perundingan masih ada,” katanya dalam ucapan sempena Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan April tahun 2025 di sini pagi ini.
Turut hadir adalah Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Hadir sama adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Semalam, Anwar berkata, ekonomi negata dijangka kekal berdaya tahan selain tidak akan mengalami kemelesetan walaupun terdapat kemungkinan kesan negatif akibat pengenalan tarif baharu berkenaan.
Anwar bagaimanapun berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini perlu dikaji semula jika tarif 24 peratus itu dilaksanakan.
Jelasnya, daripada sudut pandangan ekonomi unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 sebanyak 4.5 peratus hingga 5.5 peratus perlu dikaji semula jika tarif 24 peratus dikenakan.
Pada majlis sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan mahu negara-negara ASEAN teguh sebagai satu kelompok kuasa Asia Tenggara bagi menegaskan pendirian terhadap pengumuman tarif oleh Trump.
“Saya juga dapat bincang panjang dengan Perdana Menteri Vietnam (Phạm Minh Chính) dan sebelum itu menghubungi semua Filipina, Brunei, Laos, Thailand untuk menyatakan kita ada pendirian masing-masing tetapi kita gunakan kekuatan hubungan untuk diselaraskan supaya ASEAN sebagai satu kelompok berdiri tegap dan mengemukakan pandangan yang menunjukkan ada kesepakatan.
“Jadi asas untuk perundingan itu (mengenai tarif Trump) akan lebih kukuh,” katanya lagi.
Semalam, Anwar dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto turut membincangkan mengenai isu serantau yang penting termasuk tarif baharu yang diterapkan AS terhadap negara0-negara ASEAN.
Ke arah itu, Anwar berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi ASEAN pada Khamis depan.
Mesyuarat itu akan digerakan bagi menetapkan pendirian diantara negara-negara ASEAN berhubung penetapan tarif yang dijangka memberikan kesan terhadap ahli-ahlinya.
“Kita (ASEAN) harus lebih siapsiaga dari segi fundamental ekonomi kita jauh lebih baik angka-angka yang diumumkan sebelum ini lebih meyakinkan tetapi ada beberapa perkembangan yang luar daripada jangkaan yang kita sebut ketidakpastian.
Jumaat lalu, Tengku Zafrul berkata, mesyuarat tersebut dijangka akan membincangkan implikasi lebih meluas akibat daripada langkah-langkah tarif AS ke atas aliran perdagangan dan pelaburan serantau dan kestabilan makroekonomi.
Selepas itu, pemimpin ASEAN akan bermesyuarat untuk membincangkan hala tuju negara anggota ASEAN serta menangani dan mengurangkan potensi gangguan terhadap perdagangan serantau, rangkaian rantaian bekalan dan pelaburan rentas sempadan. – MalaysiaGazette