Bank Negara
Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mempertimbangkan untuk menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) sebagai langkah kitaran berbalas jika tanda kelembapan pertumbuhan muncul dalam beberapa bulan akan datang.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata aliran ekonomi global yang lebih lemah ditambah dengan persekitaran inflasi yang agak sederhana di Malaysia boleh memberi ruang kepada bank pusat untuk bertindak, jika perlu.

“Kami tidak fikir BNM akan bertindak secara awalan tetapi akan mengambil pendirian tunggu dan lihat sehingga bukti yang lebih kukuh berhubung kelembapan pertumbuhan,” kata HLIB dalam nota penyelidikannya hari ini.

Selain itu, HLIB berkata kedudukan Malaysia sebagai satu daripada negara yang kurang terjejas oleh kenaikan kadar tarif Amerika Syarikat (AS) mungkin membantu menampan sentimen domestik, khususnya jika rakan serantau mengalami kelembapan yang lebih ketara dan mengamalkan dasar monetari yang lebih ketat.

Namun, pemantauan berterusan terhadap pekerjaan, pelaburan dan permintaan luar akan menjadi kunci untuk menentukan pendirian dasar yang sesuai, kata HLIB.

Malaysia dikenakan tarif sebanyak 24 peratus ke atas eksportnya ke AS, rakan eksport ketiga terbesar negara merangkumi purata 7.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 2011 hingga 2024.

Eksport utama Malaysia ke AS termasuk mesin elektrik dan mekanikal, alat perubatan, getah, perabot, minyak, plastik, besi dan keluli, aluminium serta produk koko.

Kategori-kategori ini merangkumi 90 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke AS dengan produk elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang hampir 70 peratus.

Dalam menjangkakan tarif, HLIB berkata syarikat-syarikat mula mengimport lebih awal sejak Presiden AS Donald Trump memegang jawatan pada Januari 2025 dan ini terbukti daripada prestasi eksport Malaysia.

Penghantaran ke AS melonjak sebanyak 28.5 peratus tahun ke tahun pada Januari hingga Februari 2025, jauh mengatasi pertumbuhan eksport keseluruhan sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun yang dipacu terutamanya oleh pembelian awal produk E&E terutamanya peranti semikonduktor dan litar bersepadu.

“Pemuatan hadapan ini dijangka sekurang-kurangnya berterusan sehingga bulan terakhir suku pertama 2025, lebih awal daripada tarif 24 peratus yang berkuat kuasa pada 9 April, pada permulaan suku kedua 2025,” kata HLIB.

Untuk membantu mengurangkan kesan tarif, bank pelaburan itu berkata Malaysia boleh mempertimbangkan untuk meningkatkan import dari AS dan pada masa yang sama mempelbagaikan pasaran eksportnya.

“Terdapat peluang segera apabila Malaysia sudah mengimport jumlah yang besar dari AS dan boleh meningkatkan pembelian secara realistik untuk membantu mengurangkan jurang dagangan,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here