BANGI – Anggota Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan menerima kenaikan elaun harian daripada RM40 sehari kepada RM80.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet bagi mendapatkan kelulusan.
“Elaun yang diberikan untuk kerja sukarela setakat ini hanya RM40 sehari tetapi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara yang memperjuangkan perkara ini di mesyuarat Jemaah Menteri agar disamaratakan elaun yang diberikan sebanyak RM80 sehari dan isnya-Allah rakan saya (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Fadillah Yusuf akan bersama saya dan (Menteri Komunikasi) Datuk Fahmi untuk memperjuangkan elaun untuk APM naik kepada RM80 sehari.
“Kita tidak minta lebih tetapi kita minta sama rata dengan sukarelawan yang lain dan ini telah dapat saya perjuangkan,” katanya dalam ucapan merasmikan penutupan Sambutan Bulan Pertahanan Awam 2025 di ibu pejabat Pertahanan Awam, hari ini.
Pada 2023 kerajaan telah menaikkan elaun latihan sukarelawan APM kepada RM40 sehari daripada RM5.
Kenaikan itu memberikan manfaat kepada lebih 10,000 sukarelawan APM di seluruh negara.
Sementara itu, Ahmad Zahid, memberitahu, kerajaan amat menghargai sumbangan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dalam membantu membantu mangsa gempa bumi kuat di Myanmar.
Katanya, kerajaan berbesar hati untuk memberikan sijil penghargaan kepada semua pegawai SMART yang telah menjayakan misi bantuan berkenaan.
“Saya akan bertemu dengan mereka sendiri dan saya akan minta Ketua Pengarah NADMA (Datuk Khairul Shahril Idrus) untuk memberikan sijil penghargaan kepada semua anggota SMART yang telah jalankan tugas yang terbaik,” katanya.
Tambah beliau, dengan keberadaan pasukan itu, Malaysia menjadi antara negara pertama menghantar bantuan bagi membantu mangsa-mangsa gempa di Myanmar.
Malaysia menghantar dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa 50 pegawai dan anggota SMART serta pasukan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ke Myanmar bagi operasi SAR pada 30 Mac lalu.
Operasi SAR oleh SMART berjaya mengeluarkan tujuh mangsa, termasuk seorang masih hidup, dari bawah runtuhan akibat gempa bumi di Daerah Sagaing. – MalaysiaGazette