JOHOR BAHRU – Dewan Pemuda Pas Negeri Johor (DPPNJ) mendesak Kerajaan Malaysia segera menghantar pasukan keselamatan termasuk unit perubatan dan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Ketua Pemuda Pas Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, langkah tersebut boleh dilakukan menerusi koordinasi dengan negara Islam lain seperti Mesir atau Turkiye.

Jelasnya, ini termasuk membuka jalan diplomatik untuk membentuk pasukan pengaman bersama-sama negara Islam bagi melindungi rakyat Palestin daripada serangan berterusan Israel.

“DPPNJ menyokong sepenuhnya sebarang inisiatif ketenteraan dari blok negara Islam yang mahu campur tangan bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini.

“Sudah tiba masanya Malaysia bukan sahaja menjadi suara lantang di pentas antarabangsa, tetapi menjadi pencetus tindakan dalam mempertahankan maruah umat Islam dan hak asasi manusia sejagat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tindakan yang lebih tegas dan berani perlu diambil dalam menangani krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza.

Menurutnya, kekejaman rejim Zionis Israel yang tidak berperikemanusiaan kini telah meragut puluhan ribu nyawa, termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

“Mengambil kira fatwa Kesatuan Ulama Sedunia diketuai Syeikh Dr Ali Qaradaghi yang mempunyai hubungan rapat dengan PMX, kami mengharapkan Malaysia menyahut seruan ini dengan tindakan dan keupayaan politik yang ada di bawah PMX.

“Kami memandang serius perkembangan semasa di Gaza yang menyaksikan penduduk Palestin terus menjadi mangsa kekejaman berterusan tanpa sebarang perlindungan yang sewajarnya,” ujarnya.

Malaysia katanya, sebagai sebuah negara yang memperjuangkan prinsip keadilan sejagat dan memperlihatkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin.

Begitu juga katanya, harus menunjukkan komitmen yang lebih konkrit dalam bentuk tindakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here