Dr. Roland Victor

KUALA LUMPUR – Selepas empat tahun berdepan perbicaraan berkaitan video pandangan perubatannya mengenai vaksin Covid-19, pemilik dan pengasas The KL Sky Clinic, Dr Roland Victor akhirnya dilepas, dibebaskan oleh mahkamah semalam.

Kata Dr Roland, sejak 2021 sehingga 2025, kehidupannya yang berulang alik antara balai polis kemudian mahkamah hanya kerana bersuara dan memberi pandangan terhadap sesuatu yang memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berdepan pendakwaan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana bersuara mengikut kepakaran dan pengalamannya bergelar pengamal perubatan selama bertahun.

“Kemenangan semalam adalah amat besar buat sains, perubatan dan juga keseluruhan rakyat Malaysia, bukan saya seorang.

“Setelah empat tahun berjuang mempertahankan bukti saintifik di mahkamah Malaysia, akhirnya kita menang. Saya bebas, keputusan ini simbol kepada hak untuk bersuara dalam bidang perubatan, sesuatu yang seharusnya tidak disekat,” katanya hari ini.

Menurut Dr Roland, kes tersebut bukan sahaja memberi tekanan kepada beliau secara peribadi tetapi juga memberi gambaran bagaimana pandangan alternatif dalam bidang perubatan boleh disalahertikan.

“Ramai rakyat Malaysia dan masyarakat dunia tidak diberikan maklumat perubatan yang tepat dan seimbang semasa proses vaksinasi. Kita tidak boleh terus menyekat suara doktor yang hanya mahu menjelaskan manfaat dan risiko sesuatu rawatan,” tegasnya.

Beliau menambah pendekatan ‘satu suara sahaja’ dalam isu kesihatan awam adalah berbahaya kerana ia menyekat perbincangan terbuka dan kritikal yang menjadi asas kepada sains itu sendiri.

“Perubatan adalah sesuatu yang kompleks, ia boleh menyelamatkan nyawa tetapi juga boleh membawa risiko. Masyarakat berhak tahu bukan hanya apa yang baik tetapi juga apa yang perlu diperhatikan atau alternatif dan sebagainya,” katanya lagi.

Dr Roland turut menyeru kepada komuniti perubatan agar terus berani menyuarakan pandangan mereka secara terbuka tanpa takut kepada tekanan.

“Bukti saintifik perlu bebas. Doktor harus dibenarkan untuk bercakap, sama ada pandangan mereka popular atau tidak. Hari ini mahkamah telah menunjukkan bahawa kita masih boleh bercakap benar dalam sistem keadilan,” ujarnya.

Semalam Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Fuad Othman melepas dan membebaskan Dr Roland selepas mendapati kenyataan dibuat oleh doktor itu di laman Facebook The KL Sky Clinic pada 7 Februari 2021 tidak jelik atau berniat jahat. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mahkamah lepas, bebaskan pengasas The KL Sky Clinic daripada tuduhan hantar video jelik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here