JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menyarankan kerajaan memperketatkan lagi undang-undang terhadap pihak yang melakukan fitnah dengan hukuman yang lebih berat.
Naib Pengerusi Parti Amanah Johor, Dr Zuham Zain berkata, tujuannya bagi memberi pengajaran kepada mana-mana pihak kerana kesan perbuatan tersebut boleh mengganggu ketenteraman awam.
Beliau yang juga Ketua Amanah Kawasan Kluang berkata, perkara tersebut kerap berlaku kebelakangan ini sehingga membuatkan keadaan negara menjadi kucar kacir.
Jelasnya, ini berpunca daripada maklumat salah daripada pihak tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri atau kehendak parti politik mereka.
“Fitnah terbaharu boleh dilihat menerusi sebaran video berkenaan dengan Lagu Kebangsaan yang disalah ertikan dengan lagu rasmi negeri Perak oleh seorang pempengaruh pro pembangkang.
“Situasi ini menimbulkan syak atau fitnah kerana menyentuh isu perkauman dalam negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu katanya, Amanah Johor juga mencadangkan agar pendekatan kempen anti fitnah perlu diluaskan lagi dengan memberi penerangan kepada rakyat bermula di peringkat sekolah lagi.
Tujuannya kata beliau, bagi memberi kesedaran tentang bahaya dan kesan fitnah.
“Selain kempen, Amanah Johor mencadangkan agar kerajaan meletakkan tema fitnah sebagai musuh negara dan dengan tema tersebut akan membuatkan seluruh rakyat sedar bahaya fitnah yang menjadi racun dalam keharmonian dalam sesebuah negara,” katanya.
Terdahulu seorang pengguna laman sosial memuat naik video mendakwa berlaku insiden kononnya Lagu Negaraku dinyanyikan dalam Bahasa Cina oleh sekumpulan pelajar di sebuah sekolah.
Menerusi video tular berdurasi sekitar 3 minit dan 41 saat itu, wanita itu mendakwa adalah menjadi kesalahan apabila mana-mana pihak menyanyikan Lagu Negaraku bukan dalam Bahasa Kebangsaan.- MalaysiaGazette