Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr. Ahmad Yunus Hairi pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 27 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan supaya satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan dalam masa terdekat bagi membahaskan isu-isu berkaitan tragedi letupas saluran paip gas di Putra Heights.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Yunus Hairi berkata, ini termasuk jumlah peruntukan yang sewajarnya diberikan kepada semua mangsa terlibat dalam insiden tersebut.

“Sebagai anak negeri Selangor, kita wajar bertanya, adakah bantuan sebanyak RM10,000 (RM5,000 daripada Petronas dan RM5,000 daripada Kerajaan Persekutuan), atau hanya RM5,000 (RM2,500 masing-masing), benar-benar mencukupi untuk memulakan semula kehidupan, terutamanya dalam sebuah negeri maju yang mempunyai rizab kewangan yang kukuh?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mendakwa, Kerajaan negeri Selangor mempunyai keupayaan untuk memberi lebih banyak bantuan kepada mangsa berbanding apa yang telah diumumkan Menteri Besarnya sebelum ini.

Jelas beliau, semasa sidang pembentangan bajet penghujung tahun lalu, diumumkan bahawa rizab kewangan negeri mencecah RM4.37 bilion setakat 7 November 2024, dengan pendapatan tertinggi negeri sebanyak RM2.858 bilion sehingga Disember 2024.

Malah, peruntukan pelbagai di bawah peruntukan Pejabat Menteri Besar untuk tahun 2025 adalah yang terbesar berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu RM 234 juta.

“Oleh itu, saya menyarankan agar kerajaan negeri menggunakan kekuatan kewangan ini untuk segera membantu mangsa-mangsa yang sedang menanggung kesakitan, tekanan dan kesusahan.

“Sekurang-kurangnya, beban yang mereka tanggung ketika ini dapat diringankan, sementara menunggu keputusan siasatan dan pampasan rasmi yang entah bila akan diterima,” ujarnya lagi.

Semalam, Amirudin berkata sumbangan sebanyak RM5,000 dan RM2,500 daripada Petronas ialah tambahan kepada bantuan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Beliau berkata, sumbangan mengikut kategori atau tahap kerosakan rumah itu menjadikan mangsa yang tergolong dalam kategori rumah musnah sepenuhnya akan menerima keseluruhan RM10,000 manakala bagi separa musnah dan penyewa masing-masing akan menerima sebanyak RM5,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here