Foto: Fb Shamsul Azri bin Abu Bakar

KUANTAN – Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Datuk Nazri Abu Bakar dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Surat pelantikan itu diserahkan Ketua Setiausaha Negara ,Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan dikongsikan di Facebook rasminya petang tadi.

“Sebentar tadi saya telah menyerahkan Surat Pelantikan kepada Datuk Nazri Abu Bakar sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang baharu berkuat kuasa 8 April 2025. Saya mengucapkan tahniah atas pelantikan ini dan selamat menjalankan tugas yang telah diamanahkan,” katanya.

Nazri menggantikan Datuk Seri Zulkifli Yaacob yang bersara wajib semalam setelah berkhidmat selama 36 tahun bermula sebagai Penolong Pegawai Daerah (Tanah) di Pejabat Daerah Jerantut pada 1 Ogos 1989.

Dalam pada itu, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi catatannya di Facebook berkata, pelantikan ini adalah pengiktirafan terhadap kepimpinan, dedikasi dan integriti yang telah Nazri tunjukkan terutamanya sepanjang berkhidmat sebagai Pegawai Kewangan negeri sebelum ini.

“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Datuk Nazri Abu Bakar atas pelantikan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang baharu berkuat kuasa hari ini. Semoga segala tugas yang dilaksanakan mendapat keberkatan dan kejayaan, insya-Allah.

“Saya percaya, dengan pengalaman dan komitmen beliau pentadbiran kerajaan negeri akan terus berfungsi dengan cekap, berkesan dan telus demi kesejahteraan rakyat Pahang,” katanya.

Istiadat Pengurniaan Surat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah jawatan Setiausaha Kerajaan Pahang akan berlangsung di Istana Abdulaziz di sini, pagi esok. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here