Gambar hiasan

BATU PAHAT – Mahkamah Majistret Yong Peng, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,200 terhadap seorang pekerja kilang selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan wanita berperwatakan lelaki yang didakwa mengganggu isterinya.

Hukuman tersebut dijatuhkan Majistret Arun Noval Dass selepas Mohd Johan Misri, 40, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mendatangkan kecederaan terhadap wanita berusia 32 tahun di sebuah stesen minyak, Bandar Baru Ayer Hitam, di sini, pukul 9.50 malam 16 Mac lalu.

Berikutan itu, bapa kepada seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara selama setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu yang juga mangsa berada di hadapan stesen minyak terbabit, didatangi tertuduh lalu memukulnya.

Siasatan mendapati, insiden itu berpunca apabila tertuduh berang terhadap mangsa yang berperwatakan lelaki kerana kerap mengganggu isterinya.

Malah, tertuduh mendakwa ia bukan perkara baru, sebaliknya sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu ketika mula-mula mendirikan rumah tangga.

Mangsa yang cedera ringan di mulut membuat laporan di Balai Polis Ayer Hitam pada hari sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam Zulyati Awang.

Selain hukuman denda, mahkamah juga memerintah tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh kemudian membayar denda itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here