KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya mematahkan cubaan beberapa penjaja warga asing yang mahu melarikan diri ketika serbuan di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, pagi tadi.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi bersepadu itu dilakukan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurutnya, seramai 50 individu diperiksa dalam Operasi KL Strike Force yang bermula dari pukul 11.13 pagi hingga 12.20 tengahari.
“Berdasarkan pemeriksaan, lima lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 21 hingga 50 tahun ditahan,” katanya dalam kenyataan.
Wan Mohamed Saupee berkata, tiga daripada warga asing yang ditahan didapati melakukan kesalahan tinggal lebih masa.
Manakala, tiga lagi ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri atau pasport yang sah.
Tambah beliau, operasi tersebut melibatkan seramai 19 anggota penguatkuasa DBKL dan JIM Kuala Lumpur.
Operasi itu dibuat susulan aduan awam dan rakaman tular di media sosial.
Tambah Wan Mohamed Saupee, DBKL turut menjalankan tindakan penguatkuasaan dengan menyita 15 barangan perniagaan milik penjaja warga asing yang beroperasi tanpa lesen.
Tegasnya, tindakan diambil mengikut UUK 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016. – MalaysiaGazette