Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan kebimbangan terhadap kes penyeludupan hidupan liar eksotik melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang kekal menjadi titik transit utama sindiket perdagangan haram hidupan liar.

Ia susulan pada awal Mac lalu apabila dua penyeludup berjaya menaiki pesawat Malaysia Airlines ke Chennai dengan membawa hidupan liar dalam beg pakaian tanpa dikesan

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, insiden itu menunjukkan KLIA terus dieksploitasi sindiket kerana lokasinya yang strategik, jumlah penumpang dan kargo tinggi serta kewujudan Zon Perdagangan Bebas.

Malah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi turut mengakui KLIA sebagai lokasi berisiko tinggi.

Mohideen turut mempersoalkan bagaimana beg berisi haiwan hidup boleh melepasi kawalan keselamatan KLIA tanpa dikesan.

“Adakah kerana kurang pengawasan, kegagalan teknikal atau kecuaian?

“Walaupun dua anjing pengesan disumbangkan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada PERHILITAN, teknologi pengesanan canggih seperti sensor degupan jantung atau karbon dioksida masih belum ada. Ini sekali gus menunjukkan MAHB hanya membuat janji untuk menaik taraf sistem pengawasan tanpa pelan tindakan jelas.

“Sehubungan itu, CAP mendesak MAHB untuk segera melabur dalam teknologi pengesanan moden selain negara juga harus menegakkan piawaian antarabangsa sebagai penandatangan CITES,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohideen,  hukuman lebih berat juga perlu diambil terhadap pemilik haiwan eksotik bagi mengurangkan permintaan dan mencegah jenayah ini berulang.

“Tanpa tindakan tegas terhadap penyeludup, pembeli dan pihak yang terlibat, jenayah rentas sempadan ini akan terus berlaku,” katanya.

Untuk rekod, CAP mendakwa sejak April 2014 hingga Mac lalu, terdapat 11 kes penyeludupan hidupan liar membabitkan gibbon, burung koel, kura-kura, iguana dan spesies jarang lain.

India menjadi destinasi utama dengan hampir 73 peratus kes termasuk empat insiden di Lapangan Terbang Chennai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here