KUALA LUMPUR – Bekalan elektrik dan telekomunikasi di kawasan yang terjejas akibat kebakaran paip gas di Putra Heights di sini dijangka pulih sepenuhnya, Jumaat ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Ir Izham Hashim berkata pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM), hampir selesai melakukan pemeriksaan terhadap sistem bekalan di dua kawasan yang terjejas teruk akibat insiden berkenaan di Persiaran Harmoni dan di kampung berhampiran.
“Kedua-dua pihak ini telah memberi jaminan bekalan akan pulih sepenuhnya pada Jumaat ini dan pihak TNB kini telah selesai melakukan pemeriksan terhadap pendawaian di kawasan luar rumah.
“Bekalan elektrik hanya akan disambung kepada rumah yang sedikit terjejas. Sebagai langkah keselamatan pemilik perlu melakukan ujian bebanan untuk memastikan pendawaian elektrik di dalam rumah berada dalam keadaan baik,” katanya dalam sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di sini hari ini.
Dalam pada itu Izham turut memaklumkan pihaknya sedang berbincang dengan Petronas berhubung usaha untuk meminimumkan kesan kejadian berkenaan terhadap 8,000 unit kediaman dan komersil yang terjejas akibat gangguan bekalan gas susulan kejadian berkenaan.
Beliau berkata antara cadangan yang dikemukakan adalah menggunakan penghantaran gas menggunakan lori tangki.
“Keperluan bagi kegunaan harian pihak industri dan kediaman termasuk empat stesen jana kuasa utama di Lembah Klang melibatkan Stesen Janakuasa Connaught Bridge, Stesen Janakuasa Pulau Indah, Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz (KEV) di Kapar dan Stesen Janakuasa Putrajaya dianggarkan sebanyak 9.34 meter padu.
“5.66 meter padu gas ini diperlukan oleh empat stesen jana kuasa, manakala 3.68 meter padu lagi adalah untuk kegunaan unit kediaman dan komersil, termasuk 300 buah kilang. Dua daripada stesen jana kuasa ini boleh diubah menggunakan arang batu dan minyak, manakala dua lagi tidak boleh diubah penggunaan bahan apinya jadi ia diletakkan dalam mod tunggu sedia,” katanya.
Insiden kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar manakala sebanyak 218 rumah tidak terjejas.
— BERNAMA