KUALA LUMPUR – Remaja lelaki yang ‘berjoging’ dalam keadaan bogel di simpang tiga Persiaran Kayangan Seksyen 8 di Shah Alam, Selangor dan tular di media sosial mengalami masalah gangguan mental.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, remaja berusia 18 tahun itu ditahan anggota rondaan cegah jenayah kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.
Katanya, setelah dipujuk dan ditenangkan remaja itu kemudian dibawa ke Balai Polis Seksyen 6 untuk tindakan lanjut.
“Anggota polis seterusnya telah memberikan pakaian dan didapati remaja itu hanya boleh berintraksi menggunakan isyarat tangan dan menulis nombor telefon orang yang boleh dihubungi.

“Bapa saudara kepada remaja tersebut telah hadir di balai polis tersebut dan memaklumkan anak saudaranya tinggal bersamanya di Seksyen 9, di sini.
“Remaja itu mengalami masalah gangguan mental dan sebelum ini telah mendapatkan rawatan Psikiatri di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, remaja berkenaan telah diserah kepada bapa saudaranya untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Shah Alam.
Terdahulu, tular sebuah video menunjukkan seorang pemuda ‘berjoging’ dalam keadaan bogel di Seksyen 8, hari ini.
Menerusi klip video yang tular di media sosial, individu tersebut dilihat santai berlari tanpa seurat benang di badannya tanpa menghiraukan orang ramai. – MalaysiaGazette